Sabtu, 29 Januari 2011

PEGAWAI DAERAH BRUNEI DAN MUARA MELANCARKAN RUMAH BANTUAN

Pada hari Jumaat, 28 Jan 2011: Awang Haji Jamain bin Momin; Pegawai Daerah Brunei dan Muara; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam selaku tetamu kehormat hadir dalam majlis pelancaran membina rumah bantuan bagi Dayang Fatimah binti Awang Putih yang bertempat di Kampong Tamoi Tengah, Mukim Tamoi pada hari ini.

Dayang Fatimah merupakan warga Negara Brunei Darussalam dan seorang balu semenjak beberapa tahun yang lalu. Beliau berusia 49 tahun dan mempunyai 7 orang anak. Beliau tidak mempunyai sebarang pekerjaan yang tetap hanya mengharapkan bantuan daripada agensi-agensi yang berkenaan bagi menampung perbelanjaan seharian beliau sekeluarga.

Sebelum ini, beliau tinggal menumpang di rumah abangnya bertempat di Kampong Sumbiling Lama. Hasil daripada lawatan yang dibuat, jabatan ini mendapati keadaan rumah yang beliau diami tersebut dalam keadaan daif, usang dan mengalami banyak kerosakan serta tidak selamat untuk didiami.

Di atas kerjasama yang diberikan oleh pihak berkenaan ini khususnya para penyumbang-penyumbang derma yang prihatin dengan kebajikan sosial. Syarikat-syarikat yang terlibat dan NGO’s bermurah hati, prihatin dan dan pemedulian dengan tidak mengira bangsa dan ugama sama-sama berganding bahu memberikan bantuan kepada individu yang memerlukan khususnya mereka yang daif dan benar-benar memerlukan bantuan tempat tinggal yang selesa dan selamat untuk didiami.

Sebanyak 9 buah pihak swasta yang menyumbangkan bantuan untuk membina rumah tersebut iaitu Syarikat Haji Adinin dan Anak-anak, Serumpun Enterprise, DJ Home Video, RMS Port View, Richcode Shd Bhd, Goh Tie, Borneo United Enterprise Sdn Bhd, HSE Engineering Sdn Bhd dan YGK Jewelley Sdn Bhd sementara perbelanjaan bagi penyambungan api elektrik dan pemasangan meter air tanggungan “Tabung Amal” Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Rumah bantuan tersebut adalah jenis bertiang batu yang dianggarkan lebih kurang $27, 000.00, mempunyai 3 bilik tidur, 1 bilik tamu, tandas, bilik mandi dan dapur.

Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Haji Masfourteen bin Haji Yussof; salah seorang Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampong Tamoi Tengah dan Tamoi Ujong.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penghulu Mukim Tamoi; Pengarah Haji Mokti bin Mat Salleh, Ketua Kampong Tamoi Tengah dan Tamoi Ujong; Awang Tarip bin Haji Asgar, ketua-ketua kampong di Mukim Tamoi, para penderma, jawatankuasa Majlis Perundingan Kampong Tamoi Tengah dan Tamoi Ujong dan penduduk kampung berkenaan.